Monday, June 28, 2010

JPJ Terengganu Lelong 28 Buah Kenderaan Yang Disita

KUALA TERENGGANU, 12 Jan (Bernama)-- Sebanyak 28 buah kenderaan yang disita oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) atas pelbagai kesalahan berjaya dilelong dengan nilai keseluruhan RM69,250 dalam tempoh hanya sejam Selasa.

Pengarah JPJ Terengganu Abdul Rahman Emang Anyie berkata lelongan tertinggi melibatkan sebuah kereta jenis Honda Civic berusia 17 tahun dengan harga RM12,600.

"Lelongan yang dibuat hari ini mendapat sambutan hangat apabila 63 orang awam menyerbu perkarangan JPJ sejak awal pagi lagi.

Bagaimanapun jumlah kenderaan yang dilelong hari ini tidak banyak berbanding tahun lalu iaitu 83 buah," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Katanya jabatan itu mengadakan lelongan kenderaan sebanyak dua kali lagi untuk tahun ini dan mereka yang ingin mengambil bahagian hanya akan dikenakan bayaran pendahuluan RM50 berbanding RM500 pada tahun lalu.

Beliau turut mengingatkan orang awam bahawa JPJ tidak melantik mana-mana ejen untuk menjadi orang tengah bagi lelongan kenderaan itu."Pengguna seharusnya lebih berhati-hati agar tidak tertipu dengan pihak yang tidak bertanggungjawab," katanya.-

- BERNAMA