Monday, June 28, 2010

JPJ Selangor Kutip RM148,950 Hasil Lelong Kenderaan Sita

SHAH ALAM, 15 Jun (Bernama) -- Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor Selasa mengutip RM148,950 hasil lelongan 78 kenderaan yang tidak dituntut pemiliknya selepas terbabit dengan pelbagai kesalahan mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Pengarahnya Yusoff Ayob berkata kutipan itu adalah hasil lelongan yang pertama tahun ini, membabitkan 48 motosikal, 23 kereta, empat van dan tiga treler.

"Lelongan awam yang dijalankan hari ini ialah terhadap kenderaan yang tidak dituntut semula oleh pemilik walaupun pihak JPJ telah memaklumkan agar pemilik menuntut semula kenderaan dalam tempoh tiga bulan dari tarikh kenderaan disita.

"Tujuan penyitaan adalah perlu untuk mengelakkan berlaku lagi kesalahan seperti lesen kenderaan motor (cukai jalan) tamat tempoh dan tiada lesen memandu," katanya kepada pemberita pada majlis lelongan awam kenderaan sita JPJ di sini, Selasa.

Yusoff berkata hanya sebahagian kenderaan yang dilelong itu boleh dilesenkan semula.

Terdahulu, beliau berkata pihaknya mensasarkan mengutip kira-kira RM300,000 pada lelongan awam tersebut yang berakhir kira-kira pukul 1 tengahari itu.

Yusoff berkata seramai 120 orang telah membeli dokumen penjualan lelong hari ini sahaja yang dijual pada harga RM50, mulai 1 Jun lepas.

"Hanya mereka ini sahaja yang layak untuk membeli kenderaan itu. Pembida yang berjaya dikehendaki membayar sepenuhnya bagi kenderaan bernilai kurang RM1,000 pada hari ini juga, manakala kenderaan yang bernilai RM1,001 ke atas, pembida perlu membayar 25 peratus dari harga tawaran, manakala bakinya perlu dibayar dalam tempoh 14 hari," katanya.

Yusoff berkata pada tahun lepas, sebanyak 1,353 kenderaan disita dan pihaknya telah mengadakan lelongan awam sebanyak dua kali bagi mengelakkan kesesakan di tempat penyimpanan.

"(Ketika itu) Sejumlah 1,233 buah kenderaan telah dilelong yang melibatkan seramai 428 orang pembida serta (JPJ Selangor) berjaya mengutip hasil lelongan sebanyak RM1.08 juta," katanya.-

- BERNAMA