KUALA LUMPUR, 12 Julai (Bernama) -- Polis menumpaskan sindiket curi kereta "Geng Waja" yang aktif beroperasi sejak dua tahun lepas berikutan tertangkapnya ketua dan 15 anggota geng berkenaan baru-baru ini.Timbalan Ketua Siasatan Jenayah Kuala Lumpur ACP Ramli Din berkata hasil tangkapan itu polis turut merampas 20 kereta curi bernilai RM1.1juta, yang dipercayai sedang dalam proses untuk dijual kepada orang ramai pada harga murah.
Bercakap kepada pemberita di sini hari ini, Ramli berkata sindiket itu lumpuh setelah ketuanya yang menjadi perancang utama curi kereta, ditahan pada 29 Jun lepas di sebuah apartmen di Brickfields, di sini.
Berikutan itu polis yang menubuhkan satu pasukan khas yang diketuai Pegawai Siasatan Jenayah Kecurian Kereta (D4) daerah Brickfields Insp Sahimi Husin, berjaya mengesan anggota kumpulan sindiket itu dan berakhir dengan tangkapan 15 lelaki anggota sindiket dalam tempoh dua minggu lepas, di sekitar Lembah Klang, katanya.
Difahamkan sindiket itu menjual kenderaan-kenderaan curi pada harga terendah antara RM3,000 dan RM6,000 kepada penduduk di pedalaman, termasuk Pahang, Johor, Perak dan Terengganu, bagi mengelak daripada dikesan polis.
Siasatan awal polis mendapati kenderaan dicuri itu menggunakan nombor pendaftaran palsu yang dibuat sendiri oleh sindiket berkenaan, termasuk pelekat cukai jalan yang dicetak hampir sama dengan cukai jalan asal.
Beliau berkata yang menghairankan polis ialah nombor kod pada pelekat cukai jalan palsu itu mencatatkan maklumat jenis kereta yang sama tetapi nombor pendaftaran kenderaan berbeza, yang menyukarkan pihak polis mengesan kesahihan kenderaan itu.
Ramli berkata sindiket itu menjual kenderaan tersebut kepada orang yang mereka kenali sahaja, dengan mendakwa kononnya kenderaan dijual pada harga murah kerana pemilik asal tidak mampu membayar kepada bank dan bank hendak melelong kenderaan itu.
"Mereka juga menggunakan taktik memperdayakan pembeli kononnya pihak Kastam telah merampas kereta berkenaan dan melelongnya pada harga murah.
Geran kereta bagaimanapun tidak diserah kepada pembeli dengan alasan ia masih dalam proses untuk tukar nama," katanya.
Beliau berkata polis turut menyiasat sama ada sindiket itu mempunyai "orang dalam" dalam mendapatkan maklumat kenderaan dan geran untuk kenderaan curi itu.
Ramli berkata ketua dan anggota sindiket itu yang berumur antara 20 dan 50 tahun, kini ditahan mengikut Seksyen 379 A Kanun Keseksaan dan 411 kanun yang sama atas kesalahan mencuri kereta dan memiliki kenderaan curi.
Menurutnya hasil maklumat, polis juga menemui 20 kenderaan curi yang terdiri daripada 11 Proton Waja, empat Proton Wira, dua Perodua Kancil dan masing-masing satu Proton V6, Proton Iswara dan Nissan Sentra."Daripada 20 kenderaan itu, 15 buah dicuri di Lembah Klang, dua di Johor dan sebuah di Pulau Pinang, manakala dua lagi kereta masih disiasat pemilik sebenarnya," katanya.
Katanya polis masih memburu saki-baki anggota sindiket itu dan meminta orang ramai yang dihampiri oleh individu yang menawarkan harga kereta yang murah, tampil memberi maklumat dengan menghubungi rakan Cop di talian 03-21159999.-
- BERNAMA