Monday, June 28, 2010

JPJ Selangor Kutip RM148,950 Hasil Lelong Kenderaan Sita

SHAH ALAM, 15 Jun (Bernama) -- Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor Selasa mengutip RM148,950 hasil lelongan 78 kenderaan yang tidak dituntut pemiliknya selepas terbabit dengan pelbagai kesalahan mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Pengarahnya Yusoff Ayob berkata kutipan itu adalah hasil lelongan yang pertama tahun ini, membabitkan 48 motosikal, 23 kereta, empat van dan tiga treler.

"Lelongan awam yang dijalankan hari ini ialah terhadap kenderaan yang tidak dituntut semula oleh pemilik walaupun pihak JPJ telah memaklumkan agar pemilik menuntut semula kenderaan dalam tempoh tiga bulan dari tarikh kenderaan disita.

"Tujuan penyitaan adalah perlu untuk mengelakkan berlaku lagi kesalahan seperti lesen kenderaan motor (cukai jalan) tamat tempoh dan tiada lesen memandu," katanya kepada pemberita pada majlis lelongan awam kenderaan sita JPJ di sini, Selasa.

Yusoff berkata hanya sebahagian kenderaan yang dilelong itu boleh dilesenkan semula.

Terdahulu, beliau berkata pihaknya mensasarkan mengutip kira-kira RM300,000 pada lelongan awam tersebut yang berakhir kira-kira pukul 1 tengahari itu.

Yusoff berkata seramai 120 orang telah membeli dokumen penjualan lelong hari ini sahaja yang dijual pada harga RM50, mulai 1 Jun lepas.

"Hanya mereka ini sahaja yang layak untuk membeli kenderaan itu. Pembida yang berjaya dikehendaki membayar sepenuhnya bagi kenderaan bernilai kurang RM1,000 pada hari ini juga, manakala kenderaan yang bernilai RM1,001 ke atas, pembida perlu membayar 25 peratus dari harga tawaran, manakala bakinya perlu dibayar dalam tempoh 14 hari," katanya.

Yusoff berkata pada tahun lepas, sebanyak 1,353 kenderaan disita dan pihaknya telah mengadakan lelongan awam sebanyak dua kali bagi mengelakkan kesesakan di tempat penyimpanan.

"(Ketika itu) Sejumlah 1,233 buah kenderaan telah dilelong yang melibatkan seramai 428 orang pembida serta (JPJ Selangor) berjaya mengutip hasil lelongan sebanyak RM1.08 juta," katanya.-

- BERNAMA

JPJ Terengganu Lelong 28 Buah Kenderaan Yang Disita

KUALA TERENGGANU, 12 Jan (Bernama)-- Sebanyak 28 buah kenderaan yang disita oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) atas pelbagai kesalahan berjaya dilelong dengan nilai keseluruhan RM69,250 dalam tempoh hanya sejam Selasa.

Pengarah JPJ Terengganu Abdul Rahman Emang Anyie berkata lelongan tertinggi melibatkan sebuah kereta jenis Honda Civic berusia 17 tahun dengan harga RM12,600.

"Lelongan yang dibuat hari ini mendapat sambutan hangat apabila 63 orang awam menyerbu perkarangan JPJ sejak awal pagi lagi.

Bagaimanapun jumlah kenderaan yang dilelong hari ini tidak banyak berbanding tahun lalu iaitu 83 buah," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Katanya jabatan itu mengadakan lelongan kenderaan sebanyak dua kali lagi untuk tahun ini dan mereka yang ingin mengambil bahagian hanya akan dikenakan bayaran pendahuluan RM50 berbanding RM500 pada tahun lalu.

Beliau turut mengingatkan orang awam bahawa JPJ tidak melantik mana-mana ejen untuk menjadi orang tengah bagi lelongan kenderaan itu."Pengguna seharusnya lebih berhati-hati agar tidak tertipu dengan pihak yang tidak bertanggungjawab," katanya.-

- BERNAMA

Kastam Selangor Rampas 367 Kereta Mewah Tanpa AP Bernilai RM55.1 Juta Tahun Ini

PELABUHAN KLANG, 25 Nov (Bernama) -- Kastam Diraja Malaysia (KDRM) Selangor merampas 367 buah kereta mewah pelbagai jenis bernilai RM55.1 juta termasuk cukai, atas kesalahan tidak memiliki permit import (AP) yang sah sepanjang tahun ini.

Ketua Pengarah KDRM Datuk Seri Ibrahim Jaapar berkata kereta mewah itu kebanyakannya dibawa masuk ke negara ini dari Jepun dan United Kingdom.

"Bulan ini sahaja sebanyak 50 buah kereta telah dirampas KDRM Selangor dan sepanjang tahun ini juga sebanyak 150 buah kereta mewah telah dilepaskan KDRM Selangor selepas pengimportnya memperolehi AP.

"Kebiasaannya kita akan beri notis sebulan untuk pengimport kemukakan AP dan kalau gagal berbuat demikian kita akan lucut hak mereka ke atas kereta terbabit sebelum kereta-kereta itu dilelong," katanya kepada pemberita di Wisma Kastam Pelabuhan Barat, Pulau Indah di sini Rabu.

Ibrahim berkata kesemua kereta itu ditahan di bawah Perintah Kastam Mengenai Larangan Import 2008 kerana gagal memiliki AP yang sah.Selain itu, beliau berkata KDRM Selangor juga berjaya mematahkan cubaan menyeludup 10.2 juta rokok putih bernilai RM6.49 juta termasuk cukai yang dibawa masuk dari Shekou, China menggunakan sebuah kapal ke Pelabuhan Utara di sini, semalam.

Katanya bertindak atas maklumat, bahagian penguatkuasaan Kastam Selangor menahan satu unit kontena kerana dipercayai membuat ikrar tidak benar ke atas dagangan yang diimport.

"Dagangan diikrar sebagai 850 karton "plastics plants" dan hasil semakan mendapati sindiket menggunakan nama serta alamat pengimport yang tidak wujud. Pemeriksaan lanjut mendapati kontena itu dimuatkan dengan rokok putih berjenama yang tidak mempunyai setem cukai dan tiada tanda amaran kerajaan Malaysia," katanya.

Katanya siasatan lanjut sedang dijalankan ke atas pengimport serta agen perkapalan dan seorang suspek telah ditahan untuk membantu siasatan.Kes itu disiasat mengikut Seksyen 135 (1)(a) Akta Kastam 1967, jika sabit kesalahan hukuman denda tidak kurang daripada 10 kali ganda nilai barangan dan tidak melebihi 20 kali ganda nilai barangan atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Dalam perkembangan berkaitan, Ibrahim berkata sehingga semalam, KDRM di seluruh Malaysia berjaya mematahkan sebanyak 3,719 kes cubaan menyeludup dengan nilai keseluruhan rampasan berjumlah RM213.6 juta dan keseluruhan duti atau cukai berjumlah RM219.6 juta.

Katanya, antara barangan utama yang diseludup ialah rokok, tembakau, minuman keras, mercun, dadah, kenderaan, barangan elektrik, beras, tayar dan barangan larangan lain seperti besi buruk, kertas terpakai, kayu dan ubat-ubatan.-

- BERNAMA

Sindiket Curi Kereta 'Geng Waja' Tumpas

KUALA LUMPUR, 12 Julai (Bernama) -- Polis menumpaskan sindiket curi kereta "Geng Waja" yang aktif beroperasi sejak dua tahun lepas berikutan tertangkapnya ketua dan 15 anggota geng berkenaan baru-baru ini.Timbalan Ketua Siasatan Jenayah Kuala Lumpur ACP Ramli Din berkata hasil tangkapan itu polis turut merampas 20 kereta curi bernilai RM1.1juta, yang dipercayai sedang dalam proses untuk dijual kepada orang ramai pada harga murah.

Bercakap kepada pemberita di sini hari ini, Ramli berkata sindiket itu lumpuh setelah ketuanya yang menjadi perancang utama curi kereta, ditahan pada 29 Jun lepas di sebuah apartmen di Brickfields, di sini.

Berikutan itu polis yang menubuhkan satu pasukan khas yang diketuai Pegawai Siasatan Jenayah Kecurian Kereta (D4) daerah Brickfields Insp Sahimi Husin, berjaya mengesan anggota kumpulan sindiket itu dan berakhir dengan tangkapan 15 lelaki anggota sindiket dalam tempoh dua minggu lepas, di sekitar Lembah Klang, katanya.

Difahamkan sindiket itu menjual kenderaan-kenderaan curi pada harga terendah antara RM3,000 dan RM6,000 kepada penduduk di pedalaman, termasuk Pahang, Johor, Perak dan Terengganu, bagi mengelak daripada dikesan polis.

Siasatan awal polis mendapati kenderaan dicuri itu menggunakan nombor pendaftaran palsu yang dibuat sendiri oleh sindiket berkenaan, termasuk pelekat cukai jalan yang dicetak hampir sama dengan cukai jalan asal.

Beliau berkata yang menghairankan polis ialah nombor kod pada pelekat cukai jalan palsu itu mencatatkan maklumat jenis kereta yang sama tetapi nombor pendaftaran kenderaan berbeza, yang menyukarkan pihak polis mengesan kesahihan kenderaan itu.

Ramli berkata sindiket itu menjual kenderaan tersebut kepada orang yang mereka kenali sahaja, dengan mendakwa kononnya kenderaan dijual pada harga murah kerana pemilik asal tidak mampu membayar kepada bank dan bank hendak melelong kenderaan itu.

"Mereka juga menggunakan taktik memperdayakan pembeli kononnya pihak Kastam telah merampas kereta berkenaan dan melelongnya pada harga murah.

Geran kereta bagaimanapun tidak diserah kepada pembeli dengan alasan ia masih dalam proses untuk tukar nama," katanya.

Beliau berkata polis turut menyiasat sama ada sindiket itu mempunyai "orang dalam" dalam mendapatkan maklumat kenderaan dan geran untuk kenderaan curi itu.

Ramli berkata ketua dan anggota sindiket itu yang berumur antara 20 dan 50 tahun, kini ditahan mengikut Seksyen 379 A Kanun Keseksaan dan 411 kanun yang sama atas kesalahan mencuri kereta dan memiliki kenderaan curi.

Menurutnya hasil maklumat, polis juga menemui 20 kenderaan curi yang terdiri daripada 11 Proton Waja, empat Proton Wira, dua Perodua Kancil dan masing-masing satu Proton V6, Proton Iswara dan Nissan Sentra."Daripada 20 kenderaan itu, 15 buah dicuri di Lembah Klang, dua di Johor dan sebuah di Pulau Pinang, manakala dua lagi kereta masih disiasat pemilik sebenarnya," katanya.

Katanya polis masih memburu saki-baki anggota sindiket itu dan meminta orang ramai yang dihampiri oleh individu yang menawarkan harga kereta yang murah, tampil memberi maklumat dengan menghubungi rakan Cop di talian 03-21159999.-
- BERNAMA